9 Artis Lokal Yang Korang Kena Tahu Untuk Tahun 2024

Thirsty for JUICE content? Quench your cravings on our Instagram, TikTok and WhatsApp

Tahun 2023 telah membuktikan pencapaian muzik tempatan hebat setelah artis Malaysia berjaya mengeluarkan lagu-lagu yang bukan sahaja menghiburkan peminat sedia ada mereka, tetapi juga menarik perhatian pendengar baharu.

Untuk meraikan lagi bakat tempatan yang unik, JUICE telah senaraikan artis terbaik yang ditawarkan oleh industri muzik indie dan hip-hop di Malaysia.

Setiap artis ini layak mendapat perhatian ramai atas pelbagai sebab, dan senarai ini adalah cara yang baik untuk korang mendengar dan menghargai landskap muzik kita yang pelbagai.

1. ChronicalZ

(sumber: ChronicalZ)

Rapper yang berasal dari Desa Pandan ini telah berjaya mencipta gelombang dalam scene hip-hop tahun lalu dengan pengeluaran album sulungnya, Professional Overthinker.

Pada usia 24 tahun, ChronicalZ telah mencipta gaya unik yang menggabungkan pelbagai emosi dan penceritaan mengenai perjuangan peribadi beliau.

Menerusi sifat jujur dalam muzik yang dibuat, ChronicalZ berjaya menyentuh pelbagai isu rumit yang jarang disuarakan oleh artis-artis tanah air, seperti masalah menghadapi anxiety.

Kemahiran menulis lagunya turut menghasilkan karya yang sangat disayangi oleh peminatnya dan telah berjaya meninggalkan kesan yang mendalam dalam industri hip-hop kontemporari tanah air.

(sumber: ChronicalZ)

Dalam sebuah sesi temu bual bersama JUICE, ChronicalZ mendedahkan bahawa dia akan mengeluarkan album kedua pada tahun ini bersama beberapa single yang menampilkan artis tempatan lain.

“Tahun ini, saya mahu lebih berseronok dengan muzik, terutamanya dengan beberapa orang yang saya belum berpeluang bekerjasama. Saya juga ingin meneroka kebolehan vokal saya dalam album seterusnya kerana saya tidak mahu terperangkap membuat jenis muzik rap yang sama.

“Satu perkataan untuk menggambarkan projek seterusnya ini adalah ‘Filem’. Beberapa lagu menggambarkan perjuangan hidup peribadi saya, manakala yang lain menekankan bagaimana saya sedang menikmati kehidupan semasa saya. Saya tahu pendengar akan menyukai album ini!” kata ChronicalZ.

2. Midnight Fusic

Walaupun telah lama bergiat dalam industri indie tanah air, kumpulan rock alternatif Midnight Fusic masih berdiri teguh sebagai nama yang telah berjaya menghiasi pentas-pentas tempatan dan antarabangsa dengan pesona dan persembahan bertenaga mereka.

Muzik mereka yang bersifat youthful turut melahirkan generasi peminat setia yang terus berkembang dengan setiap persembahan mereka.

Dalam pelan yang menarik bagi tahun 2024, Midnight Fusic memberitahu JUICE bahawa mereka telah kembali ke studio untuk menghasilkan lagu-lagu baru.

Peminat boleh menantikan keluaran muzik yang belum pernah dimainkan dari kumpulan ini pada hujung tahun ini.

“Kami mahu mengeluarkan karya yang lebih telus. Kami semua telah mengalami pelbagai cabaran sebagai kumpulan dan sebagai individu sejak kami mengeluarkan album terakhir, dan kerana itu, saya rasa pendekatan kami terhadap muzik secara keseluruhan telah matang.

“Inspirasi dan rujukan kami datang dari pelbagai bahagian dalam hidup kami, dan kami berharap dapat berkongsi itu melalui muzik kami,” kata penyanyi utama Midnight Fusic, Arif Kamarudin.

3. Quai

(sumber: Quai)

Nama yang tidak asing lagi di label tempatan 0108 SLATAN, Quai telah konsisten dalam mengeluarkan lagu-lagu hit sejak kemunculannya dalam scene hip-hop. Tetapi tahun 2024 dijangka akan menjadi lebih besar untuk artis berusia 25 tahun ini.

Berasal dari Shah Alam, rapper ini telah memanjakan peminat dengan album 16 lagu berjudul DARI BLOK KE BINTANG tahun lalu.

Melalui temu bual bersama JUICE, Quai berkata single yang akan dikeluarkannya tahun ini bakal menampilkan artis tempatan terkenal yang telah pun membina nama di pentas antarabangsa.

“Tahun ini, saya akan mengusahakan lebih banyak muzik baru dan bakal berkolaborasi dengan ramai artis tempatan dan mungkin beberapa artis antarabangsa.

“Apa yang membuatkan projek akan datang ini berbeza dari yang lain pada masa lalu adalah saya dapat bekerja dengan seseorang yang sangat istimewa dan berbakat. Pengalaman dalam bekerjasama dengan mereka dan pasukan mereka adalah sesuatu yang sangat menakjubkan untuk saya. Saya teruja, dan saya tidak sabar untuk berkongsi dengan semua orang.” kata Quai.

4. lost spaces

(sumber: lost spaces)

Pada Jun 2023, artis indie-synth pop lost spaces memberi kita sedikit gambaran tentang apa yang akan datang menerusi OCPYsebuah album yang dijangka akan dikeluarkan pada tahun 2024.

lost spaces mendedahkan bahawa projek akan datangnya terdiri daripada “lagu-lagu parti” yang meluahkan pelbagai emosi, menggabungkan kesedihan, perasaan berharap, dan bagaimana beliau lari daripada masalah yang dihadapinya.

“Orang mengenali saya (dengan) bunyi yang lembut, jiwang, dan bunyi yang seolah-olah menjadi standard kejayaan di Asia Tenggara. Tetapi saya ingin mengambil risiko yang lebih besar dan merujuk kepada tema-tema yang lebih gelap.

“Ia mungkin megejutkan asas peminat sedia ada atau merosakkan algoritma saya, tetapi saya berada di tahap di mana saya mahu bebas dan tidak peduli. Saya hanya mahu membuat muzik yang saya cintai!” katanya.

5. Guccimith dan Zhe Kamil

(sumber: @guccimith dan @zhesteezy menerusi Instagram)

Tahun lalu, Guccimith dan Zhe Khamil mengeluarkan album kolaborasi sulung mereka, Beautiful Trap, yang menampilkan lagu yang telah menjadi kegemaran peminat mereka, ‘Lepaskanmu’.

Menerusi suara emotif mereka, lagu-lagu dwibahasa, dan melodi yang menarik, duo ini telah berjaya membina kumpulan peminat yang kukuh dalam kedua-dua senario muzik hip-hop underground dan mainstream.

“Kemahiran nyanyian Zhe mengejutkan saya, dan beberapa lagu yang dia rakam membuatkan saya rasa seperti saya tidak perlu berada dalam lagu-lagu tersebut. Projek akan datang kami sangat berbeza kerana kebebasan yang kami ada.

“Dengan projek tahun lalu, kedua-dua kami terpaksa belajar sejurus dengan proses pengeluaran album, dan ini memberi sedikit tekanan kepada kami. Namun, tahun ini, kami hanya akan menikmati proses dan menggunakan apa yang kami pelajari di masa lalu,” kata Guccimith, menambah bahawa projek seterusnya bakal menekankan tema cinta.

6. DISTORTED

(sumber: DISTORTED)

Kumpulan lelaki terbaru Malaysia, DISTORTED, membuat kemunculan sulung dengan keluaran single debut mereka tahun lalu, ‘SWITCH’.

Trio ini, yang terdiri daripada SINO, BALO, dan ENEYEQAY, mengagumkan semua orang dengan kemahiran rap mereka yang lancar. Mereka dengan mudah mengalirkan irama pop urban yang menarik, menggabungkan kedua-dua bahasa Inggeris dan Melayu dalam satu lagu.

Selepas penampilan mereka dalam landskap muzik mainstream, kumpulan ini kini bersedia untuk menghadapi cabaran baru dan akan mengeluarkan single dan album yang pasti akan menyentuh hati para pendengar.

“Kami sangat teruja untuk pengeluaran album ini dan single akan datang kami, ‘By Your Side’. Kami telah mula bekerja dalam membina album ini selama hampir dua tahun.

“Album ini mencerminkan pertumbuhan perjalanan kami sebagai kumpulan dan sebagai individu sepanjang tahun-tahun kebelakangan ini. Kami teruja untuk berkongsi bunyi dan visual baru yang kami telah hasilkan,” kata SINO.

7. Golden Mammoth

(sumber: Golden Mammoth)

Golden Mammoth bukan nama baru dalam scene muzik indie setelah mereka berjaya mengeluarkan banyak lagu yang “bercanggah genre” selama bertahun-tahun melalui perjalanan muzik kolaboratif mereka.

Kumpulan ini mengeluarkan album terbaru mereka, GM, pada akhir tahun lalu. Ia menggabungkan pelbagai genre, dari rock psikedelik dan pop ke rock progresif, elektronika, funk, dan hip-hop.

GM membincangkan tema patah hati, ketagihan, nostalgia, dan penemuan diri. Menurut kumpulan itu, ini adalah ciptaan paling peribadi mereka setakat ini, kerana lagu-lagu dalam album itu “ditulis semasa waktu paling mencabar dan sukar.”

Tahun ini, Golden Mammoth bersedia untuk membuat persembahan di lebih banyak konsert tempatan dengan sasaran untuk memperkenalkan album mereka di seluruh negara.

8. Khodi

(sumber: Khodi)

Sejak melakar nama dalam industri muzik tanah air pada 2019, Khodi telah memukau pendengar dengan lagu-lagu yang menarik, cover-cover yang lunak, dan suara angeliknya.

Sejak itu, artis berusia 23 tahun ini telah melebarkan sayapnya dengan menjadi ahli 0108 SLATAN.

Pada tahun lalu, Khodi mengeluarkan lagu yang dihasilkan sendiri, ‘Liberty’. Menerusi alunan suara yang tenang dan lirik yang bersifat bold, lagu ini berjaya merungkai evolusi seni Khodi.

Bagi tahun 2024, penyanyi ini telah menyatakan keinginannya untuk mendalami lagi penghasilan muziknya sendiri, terutamanya dalam genre R&B/soul dan city pop. Khodi juga mempunyai rancangan besar untuk berkolaborasi dengan artis dan produser antarabangsa.

“Saya percaya bahawa setiap penulis lagu adalah pencerita pada dasarnya maka saya ingin mencabar diri saya untuk menjadi lebih personal dalam penulisan saya. Pada akhirnya, saya mahu pendengar saya dapat mengaitkan diri mereka dengan muzik saya,” katanya.

9. Jetcetera

(sumber: Jetcetera)

Selepas tiga tahun mendiamkan diri, kumpulan indie Nusantara Jetcetera kembali pada tahun 2023 dengan lagu Bahasa Melayu pertama mereka, ‘Suratan Masa Depan’, sebuah lagu yang meneroka emosi sedih yang dirasai semasa kita semua beranjak dewasa.

Jetcetera kini mempunyai rancangan yang menarik bagi tahun 2024, dan peminat boleh menjangkakan keluaran beberapa lagi single dalam bulan-bulan akan datang.

Mereka turut berkata bahawa mereka akan meneroka lanskap bunyi baru, termasuk balada piano dan punk yang meraikan persahabatan antara wanita.

“Secara tematik, mesej yang kami mahu sampaikan melalui muzik kami adalah untuk pendengar tahu bahawa ianya okay jika mereka tidak merasa okay. Kami juga ingin mereka tahu bahawa merasai emosi yang mendalam bukanlah suatu kesalahan. Kami sentiasa menyokong untuk meluahkan perasaan itu!

“Kami cuba sejujur mungkin dengan perkara-perkara yang kami tulis supaya kami dapat membuat orang lain merasa dilihat dan mereka tidak perlu merasa keseorangan dalam merasai emosi tertentu. Itulah yang kami sasarkan dalam projek akan datang,” kata kumpulan itu kepada JUICE.

Sementara kita menunggu artis-artis ini mengeluarkan muzik baharu mereka, jom kita like playlist Spotify JUICE yang menampilkan beberapa bakat tempatan terbaik yang kita ada hari ini:

Juice WhatsApp banner