7 Lokasi Paling ‘Seram’ di Malaysia Yang Anda Perlu Tahu

Thirsty for JUICE content? Quench your cravings on our Facebook, Instagram, TikTok and WhatsApp
(sumber: Hantu Dunia Blogspot & Vocket)

Malaysia sentiasa terkenal sebagai syurga makanan dan destinasi percutian yang mesra keluarga, tetapi ada satu sisi lain negara ini yang tidak ramai berani selami. Sisi yang gelap, misteri, dan penuh dengan cerita yang tidak mampu dijelaskan oleh logik akal manusia.

Di sebalik hutan yang sunyi, bangunan tinggal, dan jalan raya yang lengang pada waktu tengah malam, wujudnya lokasi-lokasi yang dikatakan menyimpan kisah-kisah lama, sebahagiannya masih menjadi mimpi ngeri kepada mereka yang pernah ‘berkunjung’.

Bagi sesetengah orang, tempat-tempat ini adalah sekadar tapak tinggalan sejarah. Namun, bagi yang lain, ia adalah tempat tinggal ‘entiti’ yang tidak semua orang sanggup hadapi.

Jika anda mahu tahu kawasan mana yang wajar dielakkan jika tidak mahu terserempak dengan ‘entiti’ yang menyeramkan, berikut ialah tujuh lokasi yang sering disebut sebagai tempat paling seram di Malaysia:

1. Villa Nabila, Johor Bahru

(sumber: Kosmo & Supernatural Confessions)

Tersembunyi di atas bukit kecil menghadap Selat Johor, Villa Nabila bukan sekadar rumah tinggal biasa. Banglo tinggal ini dibina sekitar tahun 1930-an dan sejak bertahun lamanya, ia terus menghantui memori rakyat Johor. Bukan kerana senibinanya, tetapi kerana kisah kematian, kehilangan, dan gangguan misteri yang mengelilinginya.

Dari cerita pembunuhan keluarga hinggalah khabar angin tentang roh yang berkeliaran, villa ini pernah menjadi tumpuan nasional apabila kononnya dilaporkan seramai 23 remaja ‘hilang’ di situ, namun ianya hanya sekadar khabar angin sahaja.

Namun, rasa tidak selesa yang menyelubungi tempat ini tetap kuat. Penduduk setempat juga mengaku tidak pernah berani mendekatinya selepas waktu senja.

(sumber: Kosmo & Lobak Merah)

2. Kellie’s Castle, Perak

(sumber: British Malaya Blog)

Dibina oleh William Kellie Smith untuk isterinya, istana ini tidak pernah siap sepenuhnya selepas kematian beliau. Kini, bangunan tinggal ini menjadi tumpuan pelancong yang tertarik dengan senibina kolonial dan kisah misteri yang datang bersamanya.

Ada yang mendakwa melihat bayangan lelaki Inggeris, dan terasa seperti diperhatikan walaupun datang pada waktu siang.

Baca lebih lanjut mengenai Kellie’s Castle di sini.

(sumber: Explore Ipoh)

3. Highland Towers, Kuala Lumpur

(sumber: Malay Mail & Thrifty Traveller)

Pada tahun 1993, satu blok kondominium ini telah runtuh dan meragut 48 nyawa. Sejak dari itu, tapak runtuhan Highland Towers kekal menjadi peringatan kepada sebuah tragedi yang tidak dapat dilupakan.

Walaupun dua blok lain masih berdiri, kawasan ini telah terbiar dan dilaporkan ‘dihuni’ oleh entiti yang tidak kelihatan.

Mereka yang pernah masuk ke kawasan itu secara haram mendakwa terdengar bunyi jeritan, tapak kaki, dan kelibat bayang-bayang walaupun kawasan tersebut kosong. Kini, tapak ini ditutup sepenuhnya kepada umum, tetapi kisahnya masih menghantui rakyat Malaysia.

(sumber: Vocket & New Straits Times)

4. Lebuhraya Karak, Pahang

(sumber: Sahih & Kosmo)

Jika ada satu lebuh raya di Malaysia yang dikenali sebagai yang paling menyeramkan, jawapannya ialah Lebuhraya Karak.

Dengan hutan tebal dan selekoh tajam, lebuh raya ini sering dikaitkan dengan kemunculan kereta Volkswagen kuning tanpa pemandu, wanita berambut panjang, dan kanak-kanak yang mencari ibunya pada waktu malam.

Banyak juga kemalangan jalanraya yang telah dilaporkan berlaku di lebuh raya ini. Maka, tidak hairanlah jalan ini menjadi inspirasi kepada filem seram tempatan.

Walaupun pemandangan dari lebuh raya ini sangat cantik pada waktu siang, suasananya berubah menjadi sangat menakutkan sebaik sahaja malam menjelma.

5. Tapak bilik bedah mayat Hospital Lama Seremban, Negeri Sembilan

(sumber: Shukri Vlogs)

Terletak di kawasan yang kini menjadi hutan tebal, tapak bilik bedah mayat Hospital Lama Seremban ini pernah menjadi tapak hospital kerajaan sebelum dipindahkan ke tempat yang lebih moden.

Kini, bangunan asalnya hanya tinggal rangka, tetapi kisah yang menyelubunginya masih menjadi misteri. 

Menurut video dari Shukri Vlogs, lokasi tersebut pernah digunakan sebagai makmal bedah dan bilik mayat pada era 1980-an. Tiada banyak info mengenai lokasi ini tetapi yang pasti, ianya menjadi salah satu tempat yang seram untuk dikunjungi. 

6. Banglo Mona Fandey, Seksyen 12, Shah Alam

(sumber: Hantu Dunia Blogspot & Cari Forum)

Terletak di kawasan perumahan Seksyen 12, Shah Alam, banglo ini pernah dikaitkan dengan kes pembunuhan ahli politik berprofil tinggi yang melibatkan Mona Fandey, bekas penyanyi yang berubah haluan menjadi bomoh.

Walaupun kes tersebut berlaku pada tahun 1993, rumah ini kekal dalam ingatan ramai sebagai lokasi pembunuhan yang sangat kejam.

Menurut Lobak Merah, Mona Fandey, suaminya Affandi, serta pembantu mereka iaitu Juraimi, membunuh dan memotong anggota badan ahli politik tersebut kepada 18 kerat.

Struktur rumah ini dibiarkan terbengkalai dengan pagar berkarat dan ruang dalamannya sunyi serta gelap. Mereka yang pernah menghampiri banglo ini mendakwa terasa seperti diawasi, dan ada juga yang mendengar bisikan suara.

Ada sebab mengapa pintu pagar rumah ini sering dirantai. Mungkin bukan hanya untuk elak penceroboh, tetapi juga untuk memastikan sesuatu tidak keluar dari kawasan banglo ini.

Baca lebih lanjut mengenai kes Mona Fandey di sini.

(sumber: Fatal Frame 09 Blogspot)

7. Mimaland, Selangor

(sumber: New Straits Times)

Dahulunya taman tema keluarga yang meriah pada era 70-an dan 80-an, Mimaland kini menjadi  tapak sunyi yang dipenuhi semak-samun dan kisah misteri yang tidak pernah terpadam. Terletak di Hulu Gombak, kawasan ini pernah menjadi kebanggaan negara dimana ianya lengkap dengan gelongsor air, patung dinosaur bersaiz gergasi dan kolam rekreasi yang sering dipenuhi pengunjung.

Namun, segalanya berubah apabila seorang pelancong dari Singapura berusia 27 tahun maut dalam satu kemalangan di kawasan papan luncur air gergasi pada tahun 1993.

Selepas insiden tersebut, kawasan sekitar mula menunjukkan tanda-tanda ketidakstabilan. Setahun kemudian, berlaku kejadian tanah runtuh kecil yang merosakkan struktur papan luncur air gergasi tersebut, sekali gus menjadikan Mimaland tidak lagi selamat untuk dikunjungi.

Sejak itu, tempat ini dibiarkan terbiar, dan secara perlahan-lahan, bertukar menjadi lokasi yang usang. Kawasan ini akhirnya ditutup secara rasmi pada tahun 1994, dan sejak itu, ia dibiarkan ditelan hutan.

Sejak ditinggalkan, kawasan ini telah menjadi tempat aktiviti paranormal. Patung-patung dinosaur yang uzur, kolam berlumut, dan suasana sunyi menjadikannya lokasi seram. Ada yang mendakwa terdengar suara orang bermain, terasa diperhatikan, dan melihat bayangan manusia di antara pokok-pokok.

(sumber: Libur & New Straits Times)

Nak lagi artikel menarik? Baca cerita-cerita lain di Ikat Tepi di sini.

Juice Social Banner