Kisah Disebalik Kellie’s Castle: Misteri Rumah Agam Berhantu
Thirsty for JUICE content? Quench your cravings on our Facebook, Instagram, TikTok and WhatsApp

Terletak di Batu Gajah, Perak, Kellie’s Castle bukan sekadar tinggalan sejarah kolonial, ia adalah sebuah rumah agam terbengkalai yang menyimpan terlalu banyak cerita.
Dari kisah cinta terhadap keluarga yang tak kesampaian hinggalah ke gangguan paranormal yang masih dilaporkan hingga hari ini, tempat ini seolah-olah masih “dihuni” oleh sesuatu yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
Ramai pengunjung datang untuk tangkap gambar, kagum dengan senibina unik dan nuansa estetika zaman silam. Tapi ada juga yang pulang dengan perasaan tak sedap hati. Dan sesetengahnya, dengan “sesuatu” yang tak diundang.

Dari istana cinta agung menjadi tapak terbiar
Menurut Lobak Merah, William Kellie Smith merupakan seorang peladang kelahiran Scotland, berhijrah ke Tanah Melayu dan membina kekayaan melalui perladangan getah. Demi isteri dan keluarganya, beliau membina sebuah istana agung yang penuh pengaruh senibina Indo-Saracenic, lengkap dengan lif pertama di Tanah Melayu dan terowong bawah tanah.
Namun, pada tahun 1926, Kellie meninggal dunia secara mengejut akibat radang paru-paru semasa bercuti di Lisbon. Pembinaan istana itu terus dihentikan. Isterinya dan anak-anak tidak pernah kembali ke tanah ini.
Apa yang tinggal hanyalah bangunan separuh siap dan misteri yang sentiasa diperkatakan orang ramai.

Lokasi-lokasi yang dikatakan paling ‘berhantu’ dalam Kellie’s Castle:
1. Lorong bawah tanah
Dibina kononnya sebagai laluan rahsia ke kuil Hindu berdekatan, lorong ini kini tertutup dari orang ramai. Tapi mereka yang pernah masuk berkata, ada suara yang ikut, bisikan halus, bunyi tapak kaki, dan rasa berat di belakang tengkuk seolah-olah diperhati.

2. Bilik Agnes
Bilik yang sepatutnya menjadi ruang peribadi isteri Kellie kini dikatakan ‘didiami’ oleh kelibat wanita berpakaian putih. Ada yang melihatnya berdiri di tingkap, diam, memerhati. Aura bilik ini juga dikatakan dingin luar biasa, walaupun cuaca di luar panas terik.

3. Lif pertama di Tanah Melayu
Jika lif ini siap dipasang dulu, ia bakal menjadi lif pertama di Malaya. Lif yang tak sempat beroperasi ini menjadi lokasi pelik. Ada pelawat yang kata mereka dengar bunyi lif bergerak, walaupun semuanya sudah berkarat dan tidak aktif dan beberapa orang juga dikatakan pernah jatuh sakit selepas berdiri terlalu lama di kawasan itu.

4. Bahagian bumbung
Pada waktu siang, tempat ini menawarkan pemandangan yang indah. Tapi bila dah senja, ada yang mendakwa melihat kelibat lelaki berpakaian kolonial berdiri di tepi dan tidak bergerak. Hanya memerhati pengunjung dari jauh.

5. Tangga spiral ke menara
Tangga ni kecil, sempit, dan berputar naik ke bahagian menara tertinggi. Beberapa pengunjung berkata mereka pernah terdengar bunyi orang naik tangga di belakang mereka, sedangkan mereka datang seorang diri. Ada juga yang rasa tangan dipegang ketika mereka naik ke atas, dan bila mereka toleh ke belakang, tidak ada siapa.

Cerita saksi & aktiviti paranormal
Menurut Lobak Merah, pada tahun 1995, sekumpulan pemuda melawat Kellie’s Castle buat pertama kali pada jam lima petang. Mereka didatangi seorang pengawal istana yang memaklumkan premis itu dah tutup pada waktu itu. Tapi, bila mereka hendak berlalu pergi, mereka sedar yang pengawal tersebut tidak berkaki dan seakan melayang menuju ke pondoknya. Ada juga pelawat yang mengatakan mereka mengalami mimpi yang berulang-ulang selepas balik. Lorong gelap, suara orang memanggil nama mereka, atau rasa ‘berat’ setiap kali hendak tidur. Seolah-olah ada sesuatu yang masih “melekat”.
Ritual lama & roh yang tidak pergi
Ada yang percaya, semasa pembinaan istana ini, beberapa ritual dilakukan oleh pekerja dari India untuk melindungi struktur ini secara spiritual. Bila projek tergendala secara tiba-tiba, semua energi itu, mahupun baik dan buruk, jadi terperangkap.
Dan bila roh dipanggil tetapi tidak “dipulangkan”, mereka akan tinggal. Mungkin menjaga, menunggu, atau hanya terperangkap, dalam ruang dan masa yang tak bergerak.
Jadi, perlu ke anda kunjungi Kellie’s Castle?
Kellie’s Castle tetap menjadi salah satu destinasi pelancongan paling unik di Malaysia. Ia cantik, penuh sejarah, dan menakjubkan dari sudut arkitektur.
Jika anda berhasrat untuk kunjungi bangunan bersejarah ini, datanglah dengan niat yang betul, dan hormatlah tempat itu. Jangan cabar dan jangan berlagak berani. Kadang-kadang tempat yang sunyi itu sebenarnya ada yang sedang memerhati.
Jika terasa meremang tiba-tiba, jangan pandang belakang! Takut ada yang menunggu.
Nak lagi artikel menarik? Baca cerita-cerita lain di Ikat Tepi di sini.

Get Audio+
Hot FM
Kool 101
Eight FM
Fly FM
Molek FM