Ada sesuatu yang cukup puitis tentang fesyen iaitu bagaimana ia mampu mengikat kita pada akar tradisi sambil mendorong kita ke arah masa depan. Itulah yang berjaya disampaikan oleh Mustika, koleksi Spring/Summer 2025 hasil sentuhan magis Rizman Ruzaini.
Diasaskan oleh duo kreatif Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil, jenama ini telah lama mencorakkan landskap fesyen Malaysia. Dikenali kerana sering menghasilkan busana untuk selebriti dan golongan bangsawan, gaya Rizman Ruzaini menggabungkan elemen drama yang penuh gaya dengan keanggunan yang tersusun rapi.
Musim ini, mereka membawa sentuhan yang lebih peribadi dan penuh nostalgia.
Keseimbangan indah antara warisan yang dipelihara dan arus kemodenan yang terus berkembang
Mustika, dinamakan sempena watak utama dalam filem kultus arahan Erma Fatima Perempuan Melayu Terakhir (1999), mengangkat tema konflik emosi antara mempertahankan warisan dan menyambut perubahan zaman.
Nadi koleksi ini terletak pada penafsiran semula kebaya iaitu simbol kewanitaan Nusantara yang diberi nafas moden oleh Rizman Ruzaini, menggabungkan estetika tradisi dengan sentuhan kontemporari.
Bayangkan denim yang dinaik taraf, susunan rhinestone yang strategik, sulaman tambour yang halus, dan potongan berstruktur yang diinspirasikan gaya couture, namun masih mengekalkan keaslian bentuk tradisinya.
Apa yang benar-benar menghidupkan Mustika adalah kisah asalnya. Ruzaini Jamil, Pengarah Kreatif jenama ini, menemui sekeping foto lama neneknya, Tok Puteh Surin, mengenakan kebaya dan sarung batik bersama rakan-rakan sekitar era 1950-an.
Gambar itu bukan sekadar ilham, ia membangkitkan kerinduan terhadap keanggunan asli zaman silam. Dan melalui Mustika, beliau berjaya menghidupkannya semula.
Bahagian atas kebaya dalam koleksi ini dihiasi dengan sulaman yang mengimbau gaya era 1940-an, di mana motif tumbuhan mencerminkan citarasa Melayu dan Jawi Peranakan, manakala rekaan Peranakan Cina pula cenderung kepada motif haiwan sebagai simbol kekayaan dan spiritualiti.
Rizman Ruzaini bijak mengolah warisan ini ke dalam cita rasa masa kini, diserikan dengan teknik sulaman moden dan tekstur yang tampak segar namun tetap membangkitkan rasa yang dikenali.
Sudah tentu, batik turut menjadi elemen penting dalam koleksi ini dan kali ini ia benar-benar diberi penghormatan yang sewajarnya. Sarung batik bukan sekadar dikekalkan, malah dinaik taraf dengan sentuhan moden seperti manik dan potongan kemas yang tampak segar tanpa kelihatan berlebihan.
Sesetengah orang mungkin anggap Mustika sekadar koleksi bermusim. Tapi kalau dilihat dengan lebih mendalam, ia sebenarnya satu kenyataan fesyen yang mengajak kita berfikir bagaimana untuk bawa masa lalu ke depan tanpa melupakan keindahannya.