Geng Mamak: Kisah Pencurian Emas Bernilai RM12 Juta Yang Menggempar Malaysia

Thirsty for JUICE content? Quench your cravings on our Instagram, TikTok and WhatsApp
sumber: Sarang Burung

Sebagai rakyat Malaysia, anda mungkin pernah terdengar tentang “Geng Mamak”. Sekiranya belum, mereka bukanlah sekumpulan lelaki yang menghabiskan masa dengan melepak di kedai mamak sepanjang malam sambil minum teh tarik dan berdebat tentang bola sepak.

Sebenarnya, Geng Mamak adalah kumpulan penjenayah terkenal di Malaysia yang telah aktif sejak awal 1990-an.

Sekali pandang, anda mungkin beranggapan bahawa kumpulan ini menjalankan aktiviti jenayah di restoran mamak atau ahli-ahlinya mungkin berasal dari keturunan “mamak” (India + Melayu).

Tetapi, realitinya sangat berbeza kerana anggota kumpulan ini sebenarnya terdiri daripada pelbagai kaum, dan nama tersebut bukanlah terhasil dari konotasi perkauman.

sumber: Harga Emas

Walaupun pada mulanya kumpulan ini bergiat aktif dalam jenayah memecah masuk kilang dan gudang, tetapi kemudian beralih fokus kepada jenayah lain, termasuk perompakan and pencurian kereta.

Jenayah paling berprofil tinggi kumpulan ini adalah kecurian jongkong emas bernilai RM12 juta (kira-kira US$2.6 juta) dari kompleks kargo Malaysia Airlines di bekas Lapangan Terbang Subang pada Hari Merdeka, 31 Ogos 1994.

Inilah yang berlaku:

sumber: Deva DarshanUnsplash

Hari Merdeka: Selubung Untuk Perompakan Tergempar

Sejurus saat tengah malam pada Hari Merdeka, rakyat Malaysia berkumpul di tengah-tengah bandar Kuala Lumput untuk menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan mereka.

Sedang pihak polis sibuk menguruskan hal-hal perayaan, mereka digemparkan dengan laporan yang tidak diduga: Jongkong emas bernilai RM12 juta lenyap dari kawasan kargo Lapangan Terbang Subang, yang dianggap sebagai fasiliti paling selamat di Malaysia.

“Dalam seluruh kerjaya saya sebagai pegawai polis, insiden seperti ini belum pernah terjadi, kerana kawasan kargo ini merupakan kompleks keselamatan tinggi. Untuk menembusinya, pelaku pasti memerlukan rancangan yang sempurna,” kata Azizan Anan, penyiasat polis, dalam temu bual dengan CI.

Ketika tiba di tempat kejadian, polis menjumpai tiga pengawal lapangan terbang yang telah pun diikat. Selepas selamat pengawal-pengawal tersebut mendakwa bahawa penjenayah telah menyamar sebagai anggota polis. Pada mulanya, penyiasat agak skeptikal dengan dakwaan tersebut, tetapi mereka segera mengkaji rakaman CCTV di tempat kejadian.

sumber: Tamara GakUnsplash

Rakaman CCTV membuktikan bahawa keterangan pengawal-pengawal tersebut adalah benar.

Walaupun perompak-perompak tersebut mengenakan pakaian polis, bahasa tubuh dan tingkah laku mereka tidak konsisten atau melambangkan anggota polis sebenar.

Penyiasat polis Amidon Anan menyatakan bahawa lelaki-lelaki ini bukanlah anggota polis, tetapi mereka terdiri daripada organisasi penjenayah yang cekap. Mereka telah berjaya melaksanakan rompakan tersebut dalam hanya 20 minit, dengan cara mengambil kesempatan dari kekurangan pekerja semasa hari perayaan.

Pencurian tersebut menggemparkan seluruh negara. Pada masa itu, Perdana Menteri, Dr. Mahathir, mengekspresikan kemarahannya dan sekaligus menaikkan isu protokol keselamatan di lapangan terbang.

“Jika emas mampu hilang dari lapangan terbang, tidak mustahil pesawat terbang juga boleh,” tegaskan Dr. Mahathir.

Azizan and Amidon Anan. (sumber: Crime & Investigation Network)

Tekad untuk menangkap pesalah-pesalh tersebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan sebuah pasukan penyiasat khas yang dipimpin oleh pasangan adik-beradik, Azizan dan Amidon Anan.

“Jika Azizan dan Amidon memimpin pasukan khas, dan jika anda seorang penjenayah, anda tidak akan mahu tidur langsung, kerana anda tahu mereka tetap akan berjaya menangkap anda. Mereka tidak akan tidur, mereka tidak akan makan, mereka akan mengikuti anda dengan keintensifan dan semangat yang begitu kuat sehingga anda ditangkap,” kata Kamal Affandi, seorang analis jenayah Malaysia, dalam temu bual dengan CI.

Disebabkan sifat aktiviti jenayah tersebut yang dianggap canggih, pihak berkuasa awalnya mengesyaki keterlibatan penjenayah antarabangsa. Walau bagaimanapun, Azizan dan Amidon telah mengalihkan fokus mereka dari suspek antarabangsa kepada organisasi jenayah tempatan yang akhirnya merungkai aktiviti pencurian bernilai tinggi yang lain yang turut menggunakan modus operandi yang sama.

Akhirnya, mereka menghubungkan pencurian itu kepada Geng Mamak, yang terkenal dengan kaedah yang serupa, iaitu menyamar sebagai pegawai semasa pencurian.

Sharif Abu Bakar. (sumber: Illuminasi)

Operasi Geng Mamak didirikan oleh lima adik-beradik Abu Bakar – Mohamed Nor Abu Bakar, Sharif, Rozlan, Amirudin, dan Yusuf – yang berketurunan kacukan Sri Lanka dan Malaysia.

Aktiviti jenayah mereka bermula dengan pencurian barang-barang kecil semasa mereka masih remaja, dan ia kemudiannya berkembang menjadi aksi jenayah perompakan yang berisiko tinggi.

Apa yang membezakan mereka dengan penjenayah lain adalah kemampuan luar biasa mereka dalam menyamar sebagai anggota polis untuk mengelirukan mangsa mereka.

Menariknya, mereka menggunakan tipu daya sebagai alat utama jenayah mereka – suatu taktik yang juga membantu mengurangi hukuman mahkamah jika mereka didakwa dengan jenayah-jenayah yang dilakukan.

Peranan setiap adik-beradik Abu Bakar dalam jenayah tersebut turut disusun secara strategik: Sharif berkhidmat sebagai mastermind disebalik pelan jenayah mereka, manakala Rozlan memainkan peranan penting dalam mengatur usaha penyamaran mereka.

Sementara itu, Yusuf melaksanakan tugas yang diarahkan arahan abang-abangnya sambil melihat gerak-geri pekerja-pekerja di lapangan terbang tersebut, termasuk sepupu mereka.

Geng Mamak, dan seterusnya adik-beradik Abu Bakar, beroperasi sebagai sekumpulan penjenayah yang dikendalikan oleh keluarga ini, dengan Mohamed Nor berkhidmat sebagai ketua kumpulan.

Rozlan dan Yusuf. (sumber: Illuminasi)

Penangkapan Geng Mamak

Selepas berbulan-bulan penyiasatan, satu kejayaan tercapai apabila Amidon berjaya mengejar seorang anggota geng tersebut, dan hal ini mendedahkan kepada ahli-ahli yang lain bahawa mereka sedang diburu polis.

Akhirnya, polis berjaya menangkap kedua-dua Rozlan dan Yusuf. Namun, mereka dilepaskan setelah membayar jaminan sebanyak RM100,000 pada masa itu.

Soal siasat kemudian mendedahkan bahawa Sharif adalah dalang utama disebalik Geng Mamak, dan mereka menjalani gaya hidup yang sangat mewah. Tetapi, mereka melakukan jenayah ini bukan untuk meraih kekayaan; sebaliknya mereka inginkan status ‘legend’, dan hal ini menyebabkan mereka merancang jenayah dengan sangat teliti.

Walaupun banyak ahli mereka ditangkap, emas tersebut sudah dilebur dan dijual, dengan hanya sebahagian kecil yang dapat dipulihkan.

Semasa perbicaraan 1995, seorang saksi utama, Che De Lah, telah pun meninggal dunia. Dia dianggap kunci bagi jenayah Geng Mamak yang bersedia untuk memberi keterangan.

Disebabkan kehilangannya, adik-beradik Abu Bakar dibebaskan.

Mohamed Nor bin Abu Bakar. (sumber: Illuminasi)

Aktiviti Jenayah Berterusan

Pada tahun 2004, Mohamed Nor Abu Bakar, ketua Geng Mamak dan penjenayah paling dikehendaki negara ketika itu, telah ditahan di Puchong Perdana selepas tiga tahun bersembunyi.

sumber: Crime & Investigation Network

Walaupun ahli-ahli lain turut ditangkap dan diberi hukuman yang mengasingkan mereka dari dunia luar, mereka masih berjaya menguruskan “empayar jenayah” mereka semasa dalam tahanan polis dengan menggunakan telefon mudah alih dan kurier untuk menyampaikan arahan.

Generasi baru geng itu kemudiannya muncul, dan mereka menggunakan taktik penyamaran yang sama.
Aktiviti ketara terakhir yang direkodkan adalah pada Mei 2018, ketika dua ahli Geng Mamak ditembak mati oleh polis persekutuan di Rembau.

Kedua lelaki itu dipercayai merupakan sisa-sisa ahli Geng Mamak. Tetapi, dua orang rakan sejenayah mereka berjaya melarikan diri ke dalam semak-semak berhampiran Jalan Chengkau-Pilin semasa insiden pada jam 12:30 pagi itu.

Si mati, berusia 33 dan 35 tahun, dikaitkan dengan siri perompakan bersenjata dan masing-masing mempunyai tiga rekod jenayah bagi kesalahan berkaitan dadah, kata Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Datuk Noor Azam Jamaludin.

Penemuan sebatang pistol semi-otomatik Norinco .357 yang dimuatkan dengan lima peluru, dua parang, sekapak, topi dan rompi yang memaparkan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan sebuah lencana Kastam Diraja Malaysia di dalam sebuah Honda Accord berwarna kelabu di sekitar menunjukkan bahawa yang penjenayah adalah ahli Geng Mamak.

Noor Azam berkata bahawa Bahagian Jenayah Serius (D9) dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman terlibat dalam pertembungan bersenjata dengan kedua-dua penjenayah tersebut yang dilengkapi sebatang pistol dan parang.

“Mereka disyaki terlibat dalam perampokan bersenjata yang bersasarkan mangsa yang baru meninggalkan bank selepas melakukan transaksi,” katanya dalam sidang media.

Sebelum kejadian ini, pasukan polis Bukit Aman telah melihat empat lelaki di dalam kereta Honda Accord terbabit di Jalan Seremban-Tampin. Ketika polis cuba memberhentikan kereta tersebut, kenderaan itu terus memecut laju dan pihak polis mengejar mereka sejauh empat kilometer.

“Kami memintas kereta itu menyebabkan pemandu hilang kawalan. Ia terbabas dan merempuh papan tanda. Seorang daripada suspek melepaskan tembakan, mengakibatkan kejadian berbalas tembak dengan polis. Dua lagi suspek berjaya melarikan diri ke dalam semak,” katanya lagi.

sumber: New Straits Times

Pada 4 April 2017, kira-kira jam 9:30 malam di Tanah Hitam, Chemor, dua individu yang turut terkandung dalam senarai paling dikehendaki polis cuba mengelak daripada pemeriksaan polis.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata hasil laporan mendapati sepasukan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) ibu pejabat polis Perak dan Pulau Pinang telah mengenal pasti dua lelaki di dalam Toyota Vios berwarna kelabu di Tanjung Rambutan.

“Apabila pasukan mengarahkan lelaki itu memberhentikan kenderaan mereka untuk pemeriksaan, mereka memecut laju.

“Dalam tergesa-gesa mereka melarikan diri, kereta suspek terbabas di Tanah Hitam. Suspek enggan menyerah diri, dan salah seorang daripada lelaki itu keluar dari kenderaan dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis, manakala seorang lagi mengacukan parang ke arah seorang pegawai.

Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu mendedahkan sepucuk revolver .38, dua peluru hidup, empat magazin pistol, empat parang, dan jaket polis.

Hasnan turut berkata bahawa semakan lanjut berjaya mengenal pasti kedua-dua mereka sebagai “Misai” dan “Ganesh”, dua orang ahli Geng Mamak yang terkenal atas sifat kejam mereka.

Nama-nama lelaki itu juga terdapat dalam senarai dikehendaki polis bagi 28 kes di seluruh Perak, Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, termasuk jenayah seperti pecah rumah, samun dan pencurian kereta.

geng
sumber: New Straits Times

Sebelum itu, pada tahun 2014, seorang lelaki dipercayai anggota Geng Mamak telah tewas manakala rakan subahatnya cedera dalam kejadian pertembungan senjata dengan anggota polis di Taman Melawati.

Lelaki berusia 59 tahun itu telah lama berada di senarai pencarian polis atas siri perompakan bersenjata, dan rakan sepasukannya juga dipercayai sebagai ahli geng.

Insiden itu berlaku apabila pihak polis cuba menghentikan kedua-dua lelaki itu yang sedang memandu sebuah Volkswagen Jetta merah dengan plat pendaftaran palsu.

Pasukan D9 telah mengawasi kedua-dua suspek selama beberapa hari sebelum kejadian untuk menangkap mereka. Pemandu kenderaan itu turut cuba untuk merempuh sebuah kereta polis dalam usaha untuk melarikan diri, tetapi kedua-dua mereka mendapati diri mereka dihalang oleh dua kenderaan polis lain.

Seorang daripada suspek melepaskan tembakan yang kemudiannya dibalas oleh polis yang sekaligus membunuh lelaki yang dikehendaki itu. Rakannya yang berusia 32 tahun cedera dan seterusnya dirawat di Hospital Ampang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah menjelaskan bahawa kedua-dua lelaki itu mempunyai rekod jenayah dan dipercayai terlibat dalam 24 kes samun bersenjata dan pecah masuk di Lembah Klang.

Tujuh bilah parang, sebilah kapak, 16 nombor plat kereta palsu, jaket polis, topeng ski, sarung tangan dan Revolver Smith & Wesson, yang dipercayai digunakan dalam tembak-menembak itu, turut ditemui di dalam kenderaan tersebut.

Kini, pihak polis terus mencari anggota-anggota lain yang dipercayai saki-baki kumpulan Geng Mamak yang bertanggungjawab terhadap lebih 150 rompakan pada 1990-an.

Walaupun telah bertahun-tahun sejak kes tersebut berlaku, tiada suspek yang pernah disabitkan dengan rompakan emas terbesar Malaysia pada Hari Merdeka 1994.

Dengan penuh rasa hormat, kami ingin menyampaikan takziah kepada individu yang terjejas akibat jenayah kumpulan tersebut. Semoga segala kesakitan dan penderitaan yang dialami oleh mangsa dapat diberikan keadilan yang setimpal.

Juice WhatsApp banner